BERITA SEMASALUAR NEGARA

12 maut dalam kebakaran kedai bunga api di Hubei

WUHAN – Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam satu letupan di sebuah kedai bunga api di wilayah Hubei, tengah China, ketika penduduk negara itu meraikan sambutan Tahun Baharu Lunar.

Menurut agensi berita milik kerajaan, Xinhua News Agency, letupan berlaku petang semalam di bandar Xiangyang sebelum pasukan kecemasan berjaya memadamkan kebakaran tidak lama kemudian.

Pihak berkuasa memaklumkan lima kanak-kanak dan tujuh orang dewasa terkorban dalam insiden tersebut.

Antara mangsa termasuk pemilik kedai serta pelanggan yang sedang membeli bunga api untuk sambutan perayaan.

Sebahagian mereka dipercayai datang dari kawasan lain untuk menziarahi keluarga sempena musim perayaan.

Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun setakat ini tiada butiran lanjut didedahkan.

Insiden itu merupakan letupan kedua melibatkan premis bunga api dalam tempoh beberapa hari.

Ahad lalu, lapan orang maut manakala dua lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kedai bunga api di wilayah Jiangsu.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penduduk yang menyalakan bunga api berhampiran bangunan berkenaan.

Bunga api merupakan tradisi turun-temurun ketika sambutan Tahun Baharu Lunar di China, dipercayai membawa tuah serta menolak bala.

Namun penggunaan meluas bahan letupan itu saban tahun turut mengundang risiko keselamatan.

Susulan kejadian terbaharu, Kementerian Pengurusan Kecemasan China mengeluarkan amaran keselamatan dan menggesa kerajaan wilayah memperketat pengawasan industri bunga api sepanjang musim perayaan.

Pihak kementerian turut mengarahkan semua wilayah mengambil iktibar daripada insiden di Jiangsu serta melaksanakan penilaian risiko menyeluruh bagi mengelakkan tragedi berulang.

Sebelum ini, banyak bandar di China mengenakan sekatan atau larangan terhadap penggunaan bunga api atas faktor keselamatan dan pencemaran udara.

Namun kebelakangan ini, sebahagian daripada kerajaan tempatan melonggarkan larangan menyeluruh dan menggantikannya dengan penggunaan terkawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button