BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Kontraktor ditemui maut dengan kesan kelar di tapak projek AMBS

DUNGUN – Seorang kontraktor lelaki maut dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan berhampiran sebuah projek perumahan di Taman Madani, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar pada leher dan pergelangan tangan kiri mangsa, selain penemuan sebilah pisau pemotong kertas di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemukan terbaring bersebelahan pintu penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang enjinnya masih hidup.

“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan termasuk aspek forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kematian serta kemungkinan wujud unsur jenayah,” katanya.

Penemuan mengejutkan itu turut disaksikan penduduk setempat.

Menurut Mohd Syukri Mamat, 35, beliau menyedari kehadiran seorang lelaki dalam keadaan terbaring ketika melalui kawasan berkenaan bersama rakannya.

“Saya sangka dia sedang berehat atau mungkin keretanya rosak. Tapi bila kami mendekat, baru kami sedar badannya berlumuran darah. Kami terus hubungi polis,” jelasnya.

Siasatan turut mendapati, mangsa dilaporkan keluar dari tapak pembinaan pada sebelah pagi.

Rakan sekerjanya, Mohd Bustaman Azmi, 40, berkata mangsa ada memaklumkan bahawa dia kurang sihat dan bercadang ke klinik.

“Sejak pukul 11 pagi, saya cuba menghubungi dia namun panggilan tidak dijawab. Saya rasa tak sedap hati lalu keluar cari dia.

“Bila sampai di tapak projek, orang ramai sudah berkumpul. Waktu itu saya dimaklumkan dia telah meninggal dunia,” ujarnya.

Tambahnya, sejak awal pagi mangsa menunjukkan perubahan tingkah laku dengan kurang bercakap, namun tidak menyangka ia petanda kepada sesuatu yang lebih serius.

Polis kini meneruskan siasatan dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu bagi melengkapkan siasatan kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button