Iran laksana hukuman mati terhadap dalang skim pelaburan berskala besar
TEHRAN – Iran melaksanakan hukuman mati terhadap dalang skim pelaburan terbesar negara itu yang menipu puluhan ribu mangsa melalui rangkaian pembelian kereta, sekali gus menggugat kestabilan ekonomi Iran.
Dalam satu kenyataan rasmi semalam, pihak kehakiman mengesahkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pemilik syarikat Rezaayat Khodro Taravat Novin, Mohammad Reza Ghaffari.
Menurut portal kehakiman Mizan Online, Reza dihukum gantung selepas Mahkamah Agung mengekalkan sabitan hukuman mati terhadapnya atas kesalahan menggugat sistem ekonomi negara secara besar-besaran dan penipuan terancang melibatkan rangkaian skim pelaburan.
Skim tersebut bermula pada 2013 di wilayah Qazvin, menjanjikan pembelian kereta pada harga bawah pasaran sebelum meluas kepada pelaburan hartanah serta pelan kewangan lain.
Siasatan mendapati Ghaffari dan rakan-rakannya mengutip wang dalam jumlah besar daripada orang awam dan menggunakan deposit baharu untuk membayar peserta lebih awal, satu mekanisme menyerupai skim piramid.
Pihak kehakiman menganggarkan nilai keseluruhan penipuan itu mencecah AS$350 juta, namun hanya sekitar empat peratus pelanggan menerima kereta yang dijanjikan.
Kes berkenaan menarik lebih 28,000 aduan dan melibatkan 28 tertuduh, dengan mahkamah turut mengarahkan usaha memulangkan wang kepada mangsa.
Pegawai kehakiman memaklumkan skim itu menyebabkan kemudaratan kewangan dan psikologi yang teruk kepada mangsa, termasuk tekanan emosi, penyakit berkaitan stres serta keruntuhan keluarga.
Iran sebelum ini telah pun melaksanakan hukuman mati bukan sahaja bagi kes pembunuhan dan rogol, tetapi turut merangkumi jenayah ekonomi berskala besar dan kes pengintipan.
Mengikut kumpulan hak asasi seperti Amnesty International, negara itu kekal sebagai negara kedua tertinggi melaksanakan hukuman mati selepas China.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








