BERITA SEMASA

6.4 tan minyak masak disyaki diseleweng dirampas, tiga lelaki ditahan

NIBONG TEBAL – Kegiatan dipercayai menyeleweng minyak masak bersubsidi terbongkar selepas pihak berkuasa merampas kira-kira 6.4 tan minyak masak bernilai RM20,166 dalam serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Sanglang, di sini, Rabu lalu.

Serbuan menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Utara itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki, terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, operasi pada pukul 3 petang itu dijalankan selepas pihaknya menerima serahan kes tangkapan berkaitan minyak masak daripada Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang yang diketuai seorang pegawai bersama lima anggota.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemukan kira-kira 900 kilogram (kg) minyak masak peket bersaiz satu kilogram serta 4,000 unit plastik minyak masak peket yang sudah dipotong.

“Turut dirampas minyak masak yang disyaki disimpan dalam enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dengan anggaran kuantiti sebanyak 5,500kg.

“Kita juga menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk motor pam, hos paip dan tangki simpanan aluminium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu terbabit akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Dalam perkembangan berkaitan, Jegan berkata, KPDN Pulau Pinang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Utara turut membongkar kegiatan pemindahan minyak masak peket ke dalam tangki takungan menerusi operasi di sebuah premis di Penaga pada 12 Oktober lalu.

Operasi itu membawa kepada sitaan barangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM65,450.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang kaitan langsung antara kes di Nibong Tebal dan Penaga masih dalam siasatan.

Menurutnya, KPDN memandang serius kegiatan penyelewengan barang kawalan kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan subsidi kerajaan, selain mengganggu rantaian bekalan dan pengagihan minyak masak kepada golongan sasaran.

Sehubungan itu, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button