KPDN bongkar rumah dijadikan stor simpan minyak masak bersubsidi
KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi selepas sebuah rumah di Kampung Bukit Diman, Ajil, Kuala Berang dikesan dijadikan stor penyimpanan bekalan berkenaan.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi operasi bersepadu yang dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi ini.
Menurutnya, pasukan penguat kuasa menahan sebuah lori dan sebuah kereta sebelum pemeriksaan menemukan 200 kotak minyak masak paket bersubsidi seberat 3,400 kilogram.
“Tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyelewengan serta penyimpanan itu turut ditahan untuk siasatan lanjut,” memetik Buletin TV3 online.
Mohd Mufsi berkata, operasi bermula selepas pasukan penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu terserempak dengan kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kenderaan itu kemudiannya diekori sehingga ke sebuah rumah di Kampung Bukit Diman sebelum pemeriksaan dijalankan.
“Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak paket bersubsidi itu diperoleh daripada dua kilang pembungkusan di daerah Hulu Terengganu dan Gong Badak.
“Modus operandi mereka adalah mendapatkan bekalan daripada kilang pembungkusan sebelum disimpan di kediaman berkenaan untuk diedarkan ke pasaran luar Terengganu,” katanya lagi.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM103,500, termasuk minyak masak paket bersubsidi dan dua kenderaan yang digunakan bagi aktiviti pemunggahan.
Mohd Mufsi turut berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








