Op Kesan 5.0 pantau harga barangan kembali ke sekolah – KPDN
SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan Op Kesan 5.0 di peringkat peruncit dengan memberi tumpuan kepada barangan Jualan Kembali ke Sekolah (Back To School).
Menurut Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey, pemeriksaan yang dijalankan di seluruh Selangor bertujuan memantau serta memastikan pematuhan peniaga dan industri terhadap perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Beliau berkata, pelaksanaan Op Kesan 5.0 adalah selaras dengan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026.
“Sejak Op Kesan 5.0 digerakkan pada 1 Januari lalu, sebanyak 34 premis telah dikenakan notis oleh KPDN Selangor bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang pencatutan.
“Individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Op Kesan 5.0 merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang dilaksanakan KPDN bagi membanteras aktiviti manipulasi dalam perniagaan.
Dalam pada itu, KPDN Selangor menggalakkan pengguna yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga untuk menyalurkan aduan lengkap dan tepat melalui saluran aduan rasmi kementerian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








