Subsidi telur dikurangkan, harga kawalan masih kekal – KPDN
PUTRAJAYA – Walaupun subsidi telur telah dikurangkan sebanyak 5 sen bagi setiap biji, harga kawalan bagi telur gred A, B dan C di pasaran masih kekal.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam kepada pemberita selepas taklimat media berkaitan penguatkuasaan paparan harga ubat di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengurangan subsidi telur hanyalah perubahan struktur subsidi oleh kerajaan kepada pengusaha dan tidak memberi hak kepada peniaga untuk menaikkan harga.

“Subsidi itu dikurangkan 5 sen tapi harga kawalan masih sama. Jadi apabila harga kawalan masih sama, adalah menjadi tanggungjawab peniaga untuk menjual pada harga yang sedia ada,” katanya.
Azman menjelaskan bahawa sebelum ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 10 sen bagi setiap biji telur, namun kini ia dikurangkan kepada 5 sen hasil persetujuan bersama industri.
“Dalam tempoh tiga bulan ini, subsidi kerajaan kepada pengusaha telur berkurang sebanyak 5 sen untuk sebiji tetapi harga kawalan masih lagi sama,” katanya lagi.
Tambahnya, selepas 1 Ogos 2025, subsidi akan dihapuskan sepenuhnya dan harga telur akan diapungkan mengikut mekanisme pasaran.
“Masa itu akan berlaku perubahan harga jika ada. Kita harap perubahan harga itu adalah yang positif seperti mana yang kita lakukan pada harga ayam.
“Bila kita buat pengapungan harga ayam, harganya turun daripada harga pasaran semasa. Itu yang kita harapkan berlaku juga pada telur,” ujarnya.
KPDN turut mengingatkan pengguna agar melaporkan sebarang kenaikan harga telur yang tidak sah kepada pihak kementerian.
“Sekarang ini, harga telur masih sama. Sekiranya ada kenaikan harga atas alasan subsidi dikurangkan 5 sen, laporkan kepada pihak KPDN,” tegas beliau.
Langkah kerajaan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka sederhana dalam merasionalisasikan subsidi tanpa membebankan rakyat secara mendadak, sambil memberi isyarat kepada pasaran untuk bersedia menghadapi pengapungan harga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







