BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPDN ambil tindakan terhadap stesen minyak di Sungai Petani jual RON95 kepada kenderaan asing

SUNGAI PETANI – Sebuah stesen minyak di Sungai Petani dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah selepas menjual petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Menurut Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, KPDN Cawangan Sungai Petani sudah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit susulan penularan satu rakaman video di media sosial.

Beliau berkata, rakaman itu memaparkan seorang pekerja stesen minyak sedang mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta berpendaftaran asing.

“Pemeriksaan lanjut terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan mendapati video yang tular itu adalah sahih.

“Berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pekerja stesen minyak berkenaan ke dalam tangki sebuah kenderaan berpendaftaran asing. Kejadian itu berlaku kira-kira 9.07 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil satu tindakan kes dan menyita resit jualan, rakaman CCTV dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Katanya, sebelum ini KPDN sudah pun mengeluarkan arahan larangan dan kawalan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan asing pada 29 April tahun lalu kepada pengusaha stesen minyak seluruh negeri Kedah.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Untuk kesalahan bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta, ” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button