BDR jimatkan RM4.22 juta subsidi RON95
PUTRAJAYA – Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) berjaya menjimatkan sebanyak RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter setakat 25 Mei lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penjimatan itu direkodkan sejak pelaksanaan inisiatif berkenaan bermula pada 15 April lalu bagi membantu kerajaan menangani tekanan kewangan susulan krisis bekalan global.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan meluluskan BDR bermula 15 April lalu.
“Walaupun tekanan subsidi meningkat mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi ERAT (Encouraging Responsibility, Accountability & Trustworthiness) di Putrajaya semalam.
Sebelum itu, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pertama pelaksanaan BDR melibatkan kira-kira 200,000 penjawat awam.
Menurut Shamsul Azri, bagi memastikan pelaksanaan BDR berjalan lancar tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam, setiap ketua jabatan perlu mengamalkan konsep T.E.G.A.S iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.
“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya lagi.
Beliau turut mengajak penjawat awam menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A yang membawa maksud mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif ketika memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tetapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama seperti kita melayan Datuk-Datuk?” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Tan Sri Ismail Bakar berkata, tugas sebagai ketua jabatan bukan amanah yang mudah kerana mereka memikul tanggungjawab besar dalam memastikan integriti organisasi sentiasa terpelihara.
“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








