BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan pertimbang kembalikan subsidi diesel kepada nelayan Zon C2

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengembalikan semula pemberian subsidi bahan api kepada golongan nelayan Zon C2 yang dihentikan sejak 2019.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu kini dibincangkan di peringkat tertinggi dengan mengambil kira keperluan penelitian terhadap implikasi fiskal serta dasar sedia ada.

“Pemberian subsidi diesel kepada vesel Zon C2 dihentikan sejak 2019, selaras dengan dasar Rasionalisasi Subsidi yang menyaksikan pengurangan kuota diesel di bawah Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan daripada 80 juta liter kepada 70 juta liter.

“Namun kerajaan kekal prihatin terhadap kebajikan nelayan dan memahami cabaran operasi dihadapi pemilik vesel Zon C2,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Nelayan Zon C2 lazimnya mengendalikan vesel laut dalam dengan kos operasi tinggi termasuk bahan api, penyelenggaraan dan kru).

Mereka memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan ikan negara mencukupi, terutama bagi pasaran borong dan eksport.

RUU berkenaan kemudian diluluskan selepas mendapat lebih suara bersetuju daripada 23 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Berdasarkan RUU itu, KPKM menerima peruntukan berjumlah RM6.87 bilion bagi tahun depan, termasuk RM4.83 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus melibatkan peningkatan tujuh peratus berbanding RM6.42 bilion yang diluluskan pada 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button