BERITA SEMASA

Kerajaan berhasrat laksana subsidi bersasar diesel, petrol

KUALA LUMPUR –  Kerajaan berhasrat untuk meneruskan subsidi bersasar bagi diesel dan petrol sebagaimana yang dibuat bagi tenaga elektrik sebelum ini, maklum Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, pelaksanaan subsidi bersasar tersebut perlu dibuat susulan pelaksanaan subsidi menyeluruh sudah menjadi kebiasaan dalam ekonomi Malaysia sejak beberapa dekad ini.

Sehubungan dengan itu, Rafizi turut mengakui usaha kerajaan dalam menukar sistem subsidi penuh kepada subsidi bersasar bukanhlah sesuatu yang mudah, namun ia tidak mustahil untuk dilakukan.

“Saya berasa amat yakin kerana kita telah mengambil langkah ini dan tidak berganjak dengannya dalam tempoh enam bulan lalu. Menyasarkan semula subsidi elektrik sudah dilakukan, seterusnya kami akan beralih kepada subsidi diesel dan petrol pula.

“Mengenai perkara ini, apa yang berada di dalam kawalan kerajaan kita terus laksanakan, namun ia juga menjadi satu cabaran untuk mencapai keseimbangan di antara pembiayaan dan keupayaan.

“Terdapat perdebatan untuk memastikan peralihan yang adil sama ada mengambil pendekatan secara beransur-ansur atau secara sekali gus,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada sesi pleno di persidangan Asia Energy 2023 di Pusat Konvensyen, di sini hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini memaklumkan jumlah perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 adalah sebanyak RM66.3 bilion.

Ia merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam dan telur yang merupakan antara subsidi dengan perbelanjaan terbesar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button