RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 35 sen, harga bersubsidi kekal
KUALA LUMPUR – Harga petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 35 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), bagi tempoh sehingga 23 September, RON97 kini dijual pada RM4.85 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi RM4.37 seliter dan diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter.
Bagaimanapun, harga bahan api di bawah skim subsidi kerajaan tidak berubah, dengan RON95 menerusi BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di bawah BUDI Diesel kekal RM2.10 seliter.
Bagi sektor yang menerima subsidi melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), harga RON95 ditetapkan pada RM2.05 seliter, sementara diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
MOF berkata, kenaikan harga pasaran itu didorong lonjakan harga minyak mentah dunia yang mencecah hampir AS$100 setong sepanjang tempoh pengiraan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).
Menurut kementerian itu, pergerakan harga turut dipengaruhi ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran serta kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
“Dalam masa sama, gangguan kapasiti penapisan di Rusia terus mengehadkan pengeluaran produk petroleum bertapis, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada harga produk petroleum dunia,” katanya.
Kerajaan MADANI, menurut MOF, terus mengekalkan pendekatan subsidi bersasar bagi melindungi pengguna dan sektor perniagaan yang layak daripada kesan turun naik harga bahan api di pasaran global.
“Bermula 1 September lalu, kuota bulanan bagi BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan semula kepada 300 liter berbanding 200 liter sebelum ini,” menurut MOF.
Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang memenuhi syarat pula menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
MOF berkata kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah dalam menangani turun naik harga minyak, selain memastikan bekalan bahan api negara mencukupi dan terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








