Sindiket seludup diesel bersubsidi tumpas, lapan ditahan
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit menerusi kegiatan penjualan bahan api itu secara haram di sekitar Lembah Klang.
Operasi dikenali sebagai Op Taring Bravo 1 yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Penyeludupan (WCB/PSK) Bukit Aman itu dilaksanakan di tiga lokasi berasingan sekitar Shah Alam dan Sungai Buloh, Khamis lalu.
Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, sindiket berkenaan dikesan mengumpul diesel bersubsidi secara berperingkat sebelum dijual semula kepada pihak ketiga.
Menurutnya, bahan api itu kemudiannya disalurkan kepada syarikat pengumpulan dan penyimpanan sebelum diedarkan semula kepada sektor industri dan pembinaan dengan harga lebih tinggi.
“Sindiket ini aktif sejak awal tahun dan menjual diesel dalam kuantiti antara 5,000 hingga 6,000 liter sehari kepada beberapa syarikat industri di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serbuan di tiga premis termasuk kilang, depoh dan stor tidak bernombor membawa kepada penahanan lapan individu tempatan serta warga asing berusia antara 20 hingga 50-an.
“Kesemua suspek terdiri daripada penyelia, pekerja, pemandu lori tangki, kelindan serta penjaga stor dalam rangkaian sindiket ini,” katanya lagi.
Menurutnya, polis turut merampas sebanyak 124,950 liter diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM645,632, selain beberapa kenderaan dan peralatan berkaitan.
“Antara rampasan lain termasuk dua lori tangki, 10 tangki IBC, enam mesin pam serta 12 skid tank dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.82 juta,” katanya lagi.
Mohd Zaki berkata, siasatan mendapati sindiket beroperasi secara tersusun dan memanipulasi rantaian bekalan bahan api bagi meraih keuntungan besar.
“Mereka mengeksploitasi kelemahan sistem pengagihan diesel bersubsidi dan menjual semula kepada sektor industri pada harga lebih tinggi,” katanya lagi.
Tambah beliau, kegiatan itu disifatkan sebagai sabotaj ekonomi yang memberi kesan kepada ketirisan subsidi kerajaan serta kestabilan pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi seorang warga asing yang bekerja tanpa permit.
“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







