Sindiket seleweng diesel lebih RM45 juta tumpas
KOTA KINABALU – Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM45.59 juta berjaya ditumpaskan selepas enam lelaki ditahan dalam serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan daerah ini, semalam.
Serbuan pada pukul 4.30 pagi itu hasil risikan dan pemantauan hampir sebulan oleh PPM Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa menerusi operasi bersepadu melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Laut.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dua kapal diserbu dan enam kru kapal tempatan berusia 25 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan menemukan sebanyak 250,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM535,350 yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan.
“Turut dirampas dua kapal, peralatan berkaitan serta dokumen dipercayai ada kaitan dengan kegiatan haram itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nazri, siasatan awal mendapati kapal berkenaan dipercayai aktif menjalankan transaksi penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pelbagai vesel lain di perairan sekitar Kota Kinabalu.
“Ini adalah rampasan terbesar berkaitan diesel bersubsidi yang direkodkan di perairan Kota Kinabalu setakat ini dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM45,590,150,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, PPM merekodkan sebanyak 119 kes penyelewengan bahan api membabitkan petrol dan diesel dengan nilai rampasan berjumlah RM81.25 juta.
“Dalam tempoh sama, seramai 135 individu turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan tersebut,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








