Subsidi diesel hanya untuk kenderaan penyedia perkhidmatan penting, utama
PUTRAJAYA – Bantuan subsidi diesel hanya akan diberikan kepada penyedia perkhidmatan penting dan utama bagi mengelak kesan ekonomi dalam masyarakat khususnya kenaikan harga barang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali berkata, jenis-jenis kenderaan yang akan diberikan bantuan itu akan diluluskan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Katanya, jawatankuasa SKDS itu melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Kementerian Kewangan, selain pemegang taruh.
“Asasnya yang dipilih ini ialah kenderaan atau pengangkutan terlibat dalam penghantaran barangan atau perkhidmatan yang berorientasikan kegunaan utama, penting dan mustahak untuk rakyat secara umum,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerajaan memberi subsidi diesel kepada bas dan van persiaran disuarakan Timbalan Ketua Pemuda MCA Chong Yew Chuan semalam.
Chong bimbang ketiadaan bantuan kepada kumpulan terbabit akan menjejaskan pendapatan mereka serta menjejaskan sektor pelancongan.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah membendung kesan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel antaranya meneruskan bantuan kepada 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 kenderaan pengangkutan barang di bawah SKDS.
Mengikut senarai, perkhidmatan bas dan van persiaran tidak menikmati bantuan subsidi diesel di bawah program terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








