BERITA SEMASA

Kerajaan pertimbang segera rayuan tambahbaik SKDS

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti semua asas permohonan dan rayuan berkaitan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan dan rayuan itu diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Jawatankuasa Rayuan akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, antara syor yang dikemukakan seperti mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah SKDS.

Selain itu, kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 akan ditingkatkan bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel bermula 10 Jun sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.

Berikutan itu, harga diesel di stesen minyak di Semenanjung diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter, dengan harga baharu pasaran diumumkan setiap minggu mengikut mekanisme sedia ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button