BERITA SEMASA

MB, EXCO tidak pernah putuskan penurunan takhta Tuanku Muhriz – Ismail

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tidak pernah membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan Menteri Besar dan EXCO negeri berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai ‘biadab’ dan ‘tidak bertamadun’.

Ismail berkata, beliau menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja, namun berpandangan teguran itu mungkin dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam isu berkenaan.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat serta tindakan pentadbiran susulan.

“Persetujuan MMKN terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya dalam sidang media di Seremban, hari ini.

Ismail berkata, beliau dan barisan Exco juga tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau proses pemilihan yang berada dalam bidang kuasa pihak yang ditentukan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurutnya, sebarang persoalan berkaitan kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara serta kesan perlembagaannya perlu ditentukan berdasarkan Undang-Undang Tubuh berkenaan dan proses undang-undang yang berkaitan.

“Segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut Undang-Undang Tubuh tersebut serta proses undang-undang yang berkenaan.

“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Ismail turut menolak gambaran bahawa beliau dan MMKN mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menduduki atau meninggalkan takhta Yang di-Pertuan Besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button