BERITA SEMASAPOLITIK

ADUN PN Negeri Sembilan serah SD kepada BN, buka laluan pembentukan kerajaan baharu

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mengesahkan telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sebagai langkah membuka laluan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu dalam masa terdekat.

Serahan SD diwakilkan ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker; ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad; ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria; ADUN Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa serta ADUN Paroi, Kamarul Ridzuan Mohd Zain.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Fairuz Mohd Isa dalam kenyataan semalam berkata, dokumen tersebut telah diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, untuk tindakan lanjut.

Hanifah menyerahkan surat kesediaan bekerjasama kepada Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.

Menurutnya, SD berkenaan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan perkembangan politik semasa di negeri itu.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil selepas mendakwa kerajaan sedia ada pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Realitinya kerajaan sedia ada sudah tidak mempunyai sokongan majoriti. Justeru, kami telah menyerahkan SD kepada BN sebagai tanda sokongan bagi membolehkan langkah seterusnya diambil,” katanya.

Mohd Fairuz yang juga ADUN Serting berkata, pihaknya kini menunggu perkembangan lanjut termasuk kemungkinan wakil BN menghadap Tuanku Muhriz dalam tempoh terdekat.

Katanya, terdapat dua senario yang mungkin berlaku iaitu pembentukan kerajaan negeri baharu sekiranya mendapat perkenan atau pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jika diperkenankan, kerajaan baharu dapat dibentuk. Namun, jika DUN dibubarkan, PN bersedia menghadapi PRN,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kenyataan Aminuddin mengenai status ‘kerajaan minoriti’ sebagai tidak lebih daripada usaha meredakan keadaan.

“Dalam sistem demokrasi, sokongan majoriti walaupun dengan kelebihan tipis tetap mencukupi untuk membentuk kerajaan. Istilah kerajaan minoriti itu hanya bersifat sementara,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker memaklumkan kesemua lima ADUN PN bersedia memberikan kerjasama kepada BN susulan penarikan sokongan terhadap pentadbiran sedia ada.

Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan kestabilan politik negeri serta menjamin kelangsungan pentadbiran demi kepentingan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button