SPRM cadang dakwa 2 individu berkaitan isu bekalan baja di Kedah
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan dua individu didakwa berkaitan isu pengedaran baja kepada petani dan pekebun sawit di Kedah.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kes berkenaan diklasifikasi di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, berkaitan penggunaan atau pengemukaan dokumen palsu.
Tambahnya, pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan merujuk kertas siasatan berkenaan kepada Peguam Negara bagi mendapatkan keizinan untuk pendakwaan.
“Kami telah selesai siasatan terhadap masalah pengedaran baja kepada petani dan pekebun sawit.
“Hasil siasatan, kami mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5, hari ini.
Sebelum ini, Abd Halim juga mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamed Sabu dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan bagi membantu siasatan isu kelewatan pembekalan baja di Kedah.
SPRM turut memaklumkan bahawa 13 saksi sudah dipanggil dan dirakam kenyataan membabitkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Siasatan awal SPRM mendapati sepanjang musim terbabit, sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September ini hanya 333,655 beg baja dibekalkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








