Dua pegawai kanan JUPEM bakal didakwa kes penyelewengan RM900,000
KUALA LUMPUR – Dua pegawai tertinggi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) termasuk seorang ketua pengarah dijangka didakwa di mahkamah minggu depan atas dakwaan penyelewengan dana hampir RM900,000.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua individu berkenaan dijadualkan dituduh seawal Rabu atau Khamis minggu hadapan.
“Kedua-dua mereka dari JUPEM akan dituduh di mahkamah Rabu atau Khamis,” katanya ketika berucap pada Anugerah Media SPRM Kali ke-6 2026, di sini malam tadi.
Terdahulu, pada 11 Februari lalu, Azam mengesahkan dua pegawai kanan jabatan kerajaan termasuk seorang Ketua Pengarah disyaki bersubahat menyeleweng dana bagi kepentingan peribadi.
Menurut beliau, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
“Siasatan mendapati mereka dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Selain itu, kedua-dua suspek turut dipercayai mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butiran material tidak benar bernilai kira-kira RM60,000.
Difahamkan, tuntutan tersebut didakwa digunakan bagi menunaikan ibadah umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















