Padini sahkan SPRM lepas semua akaun bank dibekukan
KUALA LUMPUR – Padini Holdings Bhd (Padini) mengesahkan semua akaun bank syarikat dan anak syarikatnya yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak April lalu telah dilepaskan.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat peruncitan itu memaklumkan tiada mana-mana pengarah, pegawai, pekerja atau wakil kumpulan ditahan atau didakwa berhubung siasatan berkenaan.
Selain itu, syarikat dan anak syarikatnya juga tidak menjadi subjek prosiding pelucuthakan harta.
“Syarikat ingin menegaskan bahawa sejak awal siasatan, kami secara konsisten mengekalkan pendirian bahawa syarikat dan mana-mana ahli kumpulan tidak terbabit dalam sebarang salah laku atau perlakuan tidak wajar,” menurut kenyataan itu.
Padini berkata, pihaknya kekal komited terhadap standard integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat yang tinggi serta mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah, sogokan dan sebarang bentuk salah laku.
Akaun syarikat sebelum ini dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi membantu siasatan SPRM.
Ketika itu, Padini memaklumkan akaun yang terlibat hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah deposit kumpulan dan operasi perniagaannya tidak terjejas.
Pada Mei lalu, SPRM memaklumkan lapan individu ditahan manakala keterangan 10 lagi dirakam berhubung siasatan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan transaksi melibatkan Padini.
Bagaimanapun, agensi itu menegaskan syarikat tersebut bukan sasaran siasatan dan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Padini turut merakamkan penghargaan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan perniagaan, pekerja dan semua pihak berkepentingan atas ‘kepercayaan, kesabaran dan sokongan tidak berbelah bahagi’ sepanjang tempoh siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







