RCI Tabung Haji: Bekas menteri didakwa tiga pertuduhan Isnin ini
PUTRAJAYA – Seorang bekas menteri akan didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan siasatan Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim berkata, pihaknya telah memperoleh kebenaran daripada Peguam Negara hari ini untuk mengemukakan pertuduhan terhadap bekas menteri berkenaan.
Menurutnya, SPRM telah mengesyorkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.
“Ingin saya maklumkan terdapat perkembangan baharu. Pada hari ini, pihak kami telah mendapat izin daripada pihak Peguam Negara bagi kami mengemukakan pertuduhan ke mahkamah terhadap bekas menteri.
“Pihak kami telah mengesyorkan sebanyak tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.
“Kes itu telah diberikan keizinan oleh pihak Peguam Negara bagi kami meneruskan pertuduhan. Pertuduhan akan dilakukan pada Isnin depan, 14 September di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bekas menteri berkenaan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu RCI TH.
Beliau kemudian direman selama lima hari selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan SPRM sehingga 6 September lalu.
Tempoh reman itu kemudiannya dilanjutkan dua hari bagi membolehkan SPRM melengkapkan siasatan sebelum bekas menteri berkenaan dibebaskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








