Ahli Parlimen Kampar buat laporan SPRM dakwaan KKDW terlebih belanja
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zhemin berkata, laporan rasmi itu dibuat di pejabat SPRM di Kuala Lumpur berhubung percanggahan perbelanjaan RM2.1 bilion membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata, tindakan itu susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Abdul Rahman pada 1 Oktober lalu bahawa agensi berkenaan akan menjalankan siasatan selepas menerima laporan rasmi.
“Berikutan laporan rasmi ini dibuat, SPRM mesti menunaikan janjinya dan segera melancarkan siasatan bebas,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Chong, berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, peruntukan tahunan bagi KKDW pada 2023 adalah RM1.1 bilion, namun perbelanjaan sebenar mencecah RM1.8 bilion.
Beliau berkata, pada 2024, kementerian itu menerima peruntukan RM1.3 bilion tetapi perbelanjaan sebenar mencapai RM2 bilion, manakala pada 2025 peruntukan berjumlah RM1.6 bilion berbanding perbelanjaan sebenar RM2.3 bilion.
Katanya, jumlah keseluruhan peruntukan bagi tempoh tiga tahun berkenaan adalah RM4 bilion, sedangkan perbelanjaan sebenar mencecah RM6.1 bilion, sekali gus menghasilkan perbezaan terkumpul RM2.1 bilion.
Baca juga : KKDW tidak belanja melebihi peruntukan diluluskan – Ahmad Zahid
Zhemin berkata, Kementerian Kewangan turut memaklumkan peruntukan KKDW bagi 2026 hampir habis digunakan setakat Jun lalu sehingga menyebabkan kontraktor berdepan kesukaran mendapatkan bayaran.
Menurutnya, Kementerian Kewangan kemudian meluluskan tambahan RM300 juta selain mula mencari penjimatan daripada kementerian lain bagi memenuhi komitmen kewangan KKDW yang melebihi peruntukan.
“SPRM perlu menyiasat sama ada kontrak dan komitmen kewangan ditandatangani atau dibuat sebelum kelulusan yang diperlukan diperoleh, selain menentukan sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa, arahan atau kelulusan bagi komitmen kewangan berkenaan.
“Siasatan juga perlu merangkumi kemungkinan berlaku pelanggaran dalam proses pemilihan kontraktor, pengeluaran kontrak, pengesahan pembayaran projek serta rekod kewangan.
“SPRM mesti juga mendapatkan semua arahan peruntukan jabatan kewangan yang berkaitan, kelulusan pemindahan peruntukan dalaman, kelulusan NOC, dokumen akaun kewangan dan rekod kontrak, selain mengesahkan bila setiap pelarasan peruntukan diluluskan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








