Belanjawan 2026: KKDW tekad kukuhkan prasarana asas luar bandar, perkasa modal insan – Zahid
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghargai kepercayaan dan sokongan kerajaan yang telah meningkatkan peruntukan untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada RM12.4 bilion bagi tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan itu meningkat 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Insya-Allah, peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh jaringan prasarana asas luar bandar, meningkatkan taraf hidup masyarakat desa serta memperluas peluang ekonomi yang lebih inklusif.
“Perhatian turut diberikan kepada usaha memperkasa modal insan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif TVET, pengukuhan pendidikan tahfiz dan pondok serta program kemahiran dalam bidang strategik yang relevan dengan keperluan masa depan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya hari ini.
Terdahulu petang tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid berkata, kesiapsiagaan negara menghadapi bencana turut dipertingkatkan, manakala industri pelancongan diperkukuh sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi baharu negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Insya-Allah, Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, memajukan desa, memperluas peluang pendidikan dan pekerjaan, serta memastikan Malaysia kekal berdaya saing di pentas global,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








