POLITIK

UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan, sebaliknya kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pandangan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebelum ini yang menyatakan kesediaan menjadi pembangkang hanyalah bersifat kenyataan peribadi.

“Kita tidak ada niat untuk jadi pembangkang, itu hanya sebuah kenyataan sahaja. UMNO di peringkat pusat telah memutuskan bahawa ADUN di Negeri Sembilan kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Kami Gen MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sebarang cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan belum dibincangkan setakat ini dan bergantung kepada perbincangan lanjut antara pimpinan parti.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Biro Politik melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang dijadual berlangsung malam ini akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas selesai.

“Biarlah Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung PH yang keluarkan kenyataan nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, perkembangan politik di Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan tindakan beberapa ADUN UMNO yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ahmad Zahid turut berkata, semua parti kini dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), namun menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan sebarang bentuk kerjasama atau gabungan.

“Apabila mandat diserahkan kepada rakyat, mereka harus memilih kombinasi parti politik yang terbaik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button