UMNO tegas terus sokong Kerajaan Perpaduan, berhak tentukan hala tuju hadapi PRN
KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan parti itu akan terus memberi dokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung hari ini.
“UMNO menegaskan komitmen berterusan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“UMNO akan terus menyokong kerajaan sedia ada sehingga pilihan raya akan datang demi menjamin kestabilan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama katanya, Kerajaan Negeri Johor telah dibentuk sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan.
Sehubungan itu katanya, UMNO berpandangan bahawa perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.
Katanya, justeru UMNO mempunyai hak untuk menentukan pendirian serta hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Sebaliknya katanya, langkah tersebut disifatkan sebagai amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan yang memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan mandat melalui proses pilihan raya.
Dalam kenyataan yang sama katanya, UMNO turut menegaskan keterbukaannya untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun katanya, parti itu menekankan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik perlu berasaskan prinsip keikhlasan serta kepercayaan bagi memastikan hubungan yang dibina dapat memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








