UMNO perlu jadi arkitek masa depan, bukan sekadar penjaga sejarah – Dr Zambry
KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terus terperangkap dalam nostalgia sejarah semata-mata, sebaliknya perlu berani muncul sebagai ‘arkitek masa depan’ yang mampu membentuk hala tuju bangsa dalam era baharu yang dipacu kecerdasan buatan (AI), ekonomi tanpa sempadan dan geopolitik yang semakin mencabar.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ketika parti itu melangkah ke usia 80 tahun, ulang tahun tersebut perlu dilihat bukan sekadar simbol warisan perjuangan, tetapi titik permulaan menuju masa depan yang lebih besar.
Menurut beliau, UMNO perlu mentakrif semula peranannya daripada organisasi politik tradisional kepada gerakan peradaban yang membentuk arah bangsa dan negara.

“UMNO tidak sekadar berdiri sebagai warisan sejarah tetapi sebagai jambatan menuju abad baharu.
“Ini bukan lagi soal mempertahankan apa yang pernah ada, tetapi mencipta apa yang belum wujud,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun ke-80 UMNO.
Beliau berkata, kekuatan masa depan UMNO terletak pada keberanian menjadi parti yang kalis masa, bukan lagi bergantung kepada balas budi semata-mata, tetapi membina keupayaan rakyat dan membuka peluang kepada generasi baharu.
Katanya, kesetiaan rakyat hari ini tidak lahir daripada sejarah semata-mata, sebaliknya daripada keyakinan bahawa UMNO mampu menawarkan masa depan yang lebih baik.
Dalam masa sama, Zambry menegaskan UMNO perlu kembali kepada kekuatan asalnya sebagai parti yang mengurus krisis dan mencipta kestabilan.
Namun katanya, krisis masa kini lebih kompleks kerana melibatkan soal kepercayaan, identiti dan makna dalam dunia digital.
“UMNO perlu menjadi parti yang bukan sahaja menyelesaikan masalah, tetapi memberi makna kepada arah perjalanan bangsa,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan ilmu sebagai teras kekuatan parti dan bangsa, dengan universiti, institusi pendidikan serta wacana intelektual perlu dijadikan rakan strategik dalam membina negara.
Menurutnya, cabaran terbesar ialah membina keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan identiti bangsa agar kemodenan tidak menghakis jiwa masyarakat.
Katanya, masa depan Malaysia juga tidak boleh dibina atas perpecahan kaum dan kebencian melampau, sebaliknya mesti berasaskan kebersamaan, integriti, kejujuran dan amanah.
“UMNO 80 tahun bukan di penghujung perjalanan, tetapi permulaan kepada fasa lebih besar menuju 100 tahun akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








