BERITA SEMASA

Zambry ucap takziah, luah rasa sedih pemergian Firos Mohamed

MANJUNG – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian penjaga gol Lagenda Pulau Pinang, Firos Mohamad yang meninggal dunia ketika beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Legend All Star, malam tadi.

Zambry yang hadir menyaksikan kejohanan berkenaan di Stadium Manjung turut bergegas ke hospital sebaik menerima berita duka tersebut dan sempat menemui keluarga Allahyarham untuk menyampaikan takziah serta memberikan sokongan moral.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga beliau, tetapi juga kepada seluruh komuniti bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Insiden menyayat hati itu berlaku ketika perlawanan antara legenda Pulau Pinang dan legenda Kedah sedang berlangsung, apabila Allahyarham tiba-tiba rebah di tengah padang sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

“Allahyarham dikenali sebagai seorang pemain yang bersemangat tinggi dan sentiasa komited dalam arena bola sepak tanah air.

BACA : Penjaga gol legenda Pulau Pinang meninggal dunia, rebah ketika beraksi

“Saya telah mengarahkan agar segala bentuk bantuan yang diperlukan disalurkan kepada keluarga Allahyarham, termasuk urusan penghantaran jenazah dan pengebumian, agar semuanya dipermudahkan.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Firos Mohamed. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman,” katanya lagi.

Kejohanan sulung yang menghimpunkan pemain legenda dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak itu turut menyaksikan kehadiran ribuan penonton yang memeriahkan suasana dan mengenang kegemilangan bola sepak tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button