HIBURAN

Jenazah Raja Azreen selamat dikebumi di Bangi

BANGI – Jenazah pemain dram kumpulan Meditasi, Allahyarham Raja Azreen Raja Talib, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, di sini pada pukul 2.35 petang, hari ini.

Suasana hiba menyelubungi pengebumian yang dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga, rakan artis dan kenalan rapat yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Bangi Perdana, Bandar Baharu Bangi selepas solat Zohor.

Antara rakan artis yang hadir ialah vokalis Meditasi, Burn selain Rosli, Man Laksamana, Kamal Lestari dan Bard Eye.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 10.58 malam semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan selepas rebah ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.

Berita pemergian mengejut itu dikongsikan Burn menerusi hantaran di Facebook sebelum disahkan oleh ahli keluarga.

Abang sulung Allahyarham, Raja Azman, 61, berkata, adiknya disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Cyberjaya pada Jun lalu selepas mengalami masalah jantung dan diabetes.

Allahyarham yang tidak pernah berkahwin menetap bersama ibunya, Raja Amnah Raja Othman, 86, di kediaman keluarga mereka di Ulu Yam, Selangor.

Sebagai anak kedua daripada empat beradik, Allahyarham memilih untuk hidup membujang demi menumpukan sepenuh perhatian menjaga dan berbakti kepada ibunya sehingga ke akhir hayat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button