Tolak politik kebencian, jaga kebajikan semua kaum – Anwar
MELAKA – Rakyat Malaysia perlu menolak politik kebencian yang memainkan sentimen perkauman dan agama kerana pendekatan sedemikian bukan cara sebenar untuk mentadbir sebuah negeri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat terus terbela tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Menurut beliau, terdapat parti politik yang menjadikan sentimen anti-Cina dan anti-DAP sebagai modal kempen, sedangkan mereka sepatutnya membawa agenda yang lebih jelas untuk kepentingan rakyat.
“Di Malaysia ada parti yang ajar benci. Tanahnya apa nombor? Tak tahu. Yang dia tahu, tak mahu China, tak mahu DAP.
“Saya mahu beritahu, saya sekarang 36 tahun, mahu negeri ini selamat. Kita mesti jaga semua rakyat ini negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Harapan di Sekolah Menengah (SM) Pay Fong, di sini, hari ini.
Anwar turut mengingatkan bahawa pemimpin tidak seharusnya menggunakan pendekatan berbeza ketika berkempen dan selepas memperoleh kuasa, khususnya apabila berhadapan dengan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, sikap bertemu dan mendapatkan sokongan masyarakat Cina, India serta Melayu ketika kempen, tetapi kemudian memainkan sentimen ketuanan Melayu selepas itu, bukan pendekatan yang wajar dalam pentadbiran negeri.
“Kalau tidak, masa kempen, kamu jumpa Cina, jumpa India, jumpa Melayu. Masa kempen, bila menang, kamu kata ketuanan Melayu. Ini bukan cara kita perintah negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kepentingan menjaga kebajikan masyarakat Melayu tidak boleh diketepikan, memandangkan masih ramai dalam kalangan mereka berdepan kesukaran hidup.
Pada masa sama, katanya, masyarakat India dan Cina serta rakyat Sabah dan Sarawak juga perlu diberikan perhatian serta bantuan sewajarnya.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membuktikan bantuan disalurkan kepada rakyat tanpa mengira kaum.
“Orang Melayu susah, kita nak jaga. India, dia tak ramai, tapi kita nak jaga dia. Sebab itu STR, SARA kita bagi semua. Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak kita bagi.
“Bulan Januari buka sekolah, semua anak kita dapat RM200. Semua, semua, semua kaum, semua agama. Ini dia Malaysia,” katanya.
Anwar turut menyentuh keadaan politik di Amerika Syarikat yang menurutnya memperlihatkan kempen berteraskan kebencian terhadap kaum dan agama lain, sambil menegaskan Malaysia tidak seharusnya mencontohi pendekatan sedemikian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














