BERITA SEMASAPMX

Geran tahunan KRT dinaikkan kepada RM10,000 setahun

SEGAMAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan geran tahunan bagi setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 bermula Januari tahun depan.

Kenaikan buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun itu diputuskan selepas kerajaan melihat keperluan serta peranan dimainkan KRT kepada masyarakat.

Justeru, beliau meminta semua KRT menghantar laporan kewangan dan kegiatan dalam tempoh satu atau dua bulan bagi membolehkan peruntukan disalurkan awal tahun depan.

“Untuk KRT ini, dalam 10 tahun lalu hanya diberi RM6,000. Tapi kali ini saya bersetuju menambah peruntukan,” katanya ketika berucap ketika sesi ramah mesra bersama KRT peringkat Johor di Dataran Segamat, hari ini.

Ketika ini, katanya, terdapat 8,615 KRT seluruh negara melibatkan 250,000 anggota dengan pelaksanaan kira-kira 100,000 aktiviti pada tahun lalu.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam terdiri Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz serta pondok pengajian.

Katanya, kerajaan komited menyalurkan semula bantuan kepada SAR selepas dihentikan pada 2003.

“Pada waktu itu, semua peruntukan SAR dihentikan dan kerajaan menyambung semula peruntukan sejak 2023.

“Kita buat keputusan pada 2023, kembalikan peruntukan dihentikan sejak 20 tahun lalu. Itupun ada orang kata saya tidak mendokong Islam… Ini semua tak betul.

“Peruntukan pada 2024, diagihkan kerana banyak sekolah daif, tandas tidak sempurna, asrama tidak selamat.

“Oleh itu, saya ambil keputusan bantu SAR, institusi pendidikan Islam seluruh negara termasuk Johor. Untuk Johor 16 projek telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM3.205 juta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button