BERITA SEMASA

Kenyataan AGC berkenaan ART bukan bermotif politik – Anwar

KUALA LUMPUR – Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) bukan bermotifkan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, ia merupakan proses biasa bagi memastikan sebarang perjanjian mematuhi undang-undang negara.

Beliau turut menegaskan, AGC mempunyai peranan penting dalam meneliti aspek perundangan sebelum sesuatu perjanjian dimuktamadkan kerajaan.

“Ulasan Peguam Negara itu diperlukan, tidak ada apa-apa peruntukan yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan peruntukan.

“Kenyataan yang dikeluarkan AGC adalah kerana mereka teliti, janganlah kata politik.

“(AGC) teliti, kemudian ini pandangan dia apa salahnya? Kalau kita minta dibuat kenyataan baharu untuk mempertahankan kerajaan semata-mata, itu politik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempersoalkan kewajaran kenyataan media AGC berhubung ART yang didakwa menyerupai jawapan politik.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan Jemaah Menteri dibuat selepas mendapatkan input daripada Peguam Negara, selaras kedudukan AGC sebagai pihak yang memastikan keserasian undang-undang negara dengan perjanjian antarabangsa.

Semalam, AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.

Kenyataan itu antara lain menyebut, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.

Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.

Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button