BERITA SEMASAPMX

ASEAN perlu lebih pragmatik tangani krisis Myanmar – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa ASEAN mengambil pendekatan yang lebih pragmatik, proaktif dan menyeluruh dalam menangani krisis berpanjangan di Myanmar dengan terus melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memajukan proses perdamaian di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu meneruskan penglibatan dengan pihak berkuasa di Naypyidaw, parti-parti pembangkang, kumpulan bersenjata etnik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi mencari penyelesaian yang mampan.

Beliau berkata, ketika para pemimpin ASEAN bertemu baru-baru ini di Cebu, mereka telah membincangkan sama ada pendekatan sedia ada boleh dilaksanakan dengan lebih berani dan kreatif.

“Penglibatan pada masa hadapan bukan sahaja perlu lebih proaktif dan menyeluruh, malah juga lebih pragmatik.

“Atas sebab itu, ASEAN perlu terus melibatkan semua pihak di Myanmar iaitu pihak berkuasa di Naypyidaw, parti-parti pembangkang, kumpulan bersenjata etnik dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-39, di sini hari ini.

Menurut Anwar, sebarang penyelesaian politik di Myanmar mestilah merupakan proses yang dimiliki dan dipimpin sendiri oleh rakyat negara itu, bukannya dipaksakan oleh pihak luar.

Beliau berkata, proses perdamaian di Myanmar dijangka mengambil masa yang panjang dan dalam hal itu, prinsip pemusatan ASEAN (ASEAN centrality) perlu terus memainkan peranan penting dalam memupuk komitmen bersama negara-negara anggota untuk bergerak ke hadapan.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa masa depan Malaysia sememangnya berkait rapat dengan masa depan ASEAN, justeru prinsip pemusatan ASEAN perlu terus menjadi tunjang dasar luar negara dan platform utama dalam memajukan kepentingan nasional serta keamanan, kemakmuran dan kestabilan serantau.

“Meskipun terdapat pelbagai keraguan dan cabaran, ASEAN centrality mesti terus kekal sebagai asas utama dasar luar negara kita,” katanya.

Beliau turut menyentuh beberapa cabaran tidak dijangka yang dihadapi ASEAN sepanjang tempoh kebelakangan ini, termasuk gempa bumi dahsyat di Myanmar yang sedang berdepan perang saudara, konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja serta tarif unilateral yang dikenakan Amerika Syarikat.

Menyentuh situasi Thailand-Kemboja, Anwar berkata, beliau berasa yakin apabila Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet terus menunjukkan komitmen untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

“Kita mesti mendepani isu dengan jelas dan penuh keyakinan, secara terbuka apabila perlu dan secara tertutup apabila wajar, sambil sentiasa berusaha mengekalkan kesatuan dalam kalangan negara anggota ASEAN serta bekerjasama dengan rakan dialog yang sehaluan,” katanya.

Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik yang memasuki penganjuran ke-39 tahun ini merupakan antara forum strategik keselamatan serantau paling berprestij, menghimpunkan pemimpin, pembuat dasar, ahli akademik dan pakar keselamatan dari pelbagai negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button