PMX

PM nafi potong peruntukan, salur terus kepada rakyat

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya peruntukan pembangunan untuk penduduk Petaling Jaya dan Damansara dipotong, sebaliknya menegaskan bantuan serta pelaksanaan projek rakyat terus diberi keutamaan tanpa mengira kaum.

Anwar berkata, tidak timbul isu sekatan kewangan terhadap projek kemudahan awam termasuk pembangunan setempat dan sekolah kerana peruntukan tetap disalurkan menerusi saluran yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengurangkan perbelanjaan untuk rakyat, malah akan terus memperkukuh pengagihan peruntukan ke seluruh kawasan Parlimen bagi memastikan manfaat sampai kepada golongan sasaran.

“Saya tidak potong peruntukan kepada rakyat, untuk masjid, untuk kuil, untuk parit, untuk semua untuk sekolah diteruskan. Yang kita tak bagi ialah melalui Ahli Parlimen.

“Yang penting itu apa, rakyat nak projek ataupun Ahli Parlimen nak projek? rakyat yang nak projek. Yang penting, peruntukan itu bukan kita simpan. Apa yang kita janji belanja, disalurkan kalau ada keperluan.

“Hospital ke, kemudahan kecil, pejabat polis ke, yang mana yang dia perlu dibantu, minta melalui saluran kita, dan kita akan bagikan. Ini jaminan kita,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 anak muda pada Program Generasi Muda Suara Baharu di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Kamil Munim.

Tegas Anwar lagi, kerajaan tidak memilih untuk menyalurkan peruntukan terus kepada Ahli Parlimen kerana terdapat kebimbangan ia tidak digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan isu sebenar yang dihadapi masyarakat setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button