
TikTok bayar RM1.59 bilion kepada AS selesai saman privasi kanak-kanak
WASHINGTON – TikTok dan syarikat induknya, ByteDance, bersetuju membayar AS$400 juta (RM1.59 bilion) kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan saman yang mendakwa platform itu melanggar privasi kanak-kanak.
Penyelesaian berkenaan antara yang terbesar pernah dikenakan berkaitan isu privasi kanak-kanak.
Kes itu berpunca daripada saman yang difailkan Jabatan Kehakiman AS pada 2024 ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden, yang mendakwa TikTok dan ByteDance mengumpul “jumlah data yang besar” membabitkan jutaan pengguna berusia bawah 13 tahun.
Tindakan berkenaan didakwa melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA), undang-undang persekutuan yang berkuat kuasa sejak 2000.
Undang-undang sama turut menjadi asas kepada tindakan undang-undang yang difailkan puluhan negeri di AS terhadap Meta.
“Kanak-kanak dan ibu bapa kini lebih dilindungi berbanding ketika kes ini bermula,” kata Penolong Peguam Negara, Brett Shumate, lapor BBC.
Sementara itu, beberapa syarikat lain turut pernah dikenakan penalti oleh kerajaan AS kerana melanggar COPPA.
YouTube milik Google pada 2019 membayar AS$170 juta (RM677 juta), manakala Epic Games membayar AS$275 juta (RM1.09 bilion) pada 2022.
Meta pula kini berdepan penalti yang berpotensi mencecah ratusan bilion dolar susulan dakwaan pelanggaran COPPA oleh peguam negara dari 29 negeri AS.
Perbicaraan juri dalam kes berkenaan bermula minggu ini, dengan pemilik Instagram dan Facebook itu didakwa menyasarkan pengguna kanak-kanak serta meraih keuntungan daripada mereka.
Saman terhadap TikTok itu difailkan sebelum pemisahan operasi TikTok di AS daripada pangkalan asalnya di China tahun lalu.
Bagaimanapun, penyelesaian berkenaan hanya membabitkan operasi TikTok di China.
ByteDance yang merupakan syarikat milik persendirian, kali terakhir dinilai pelabur pada AS$550 bilion (RM2.19 trilion).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








