Kes budak dikelar: Ibu bapa direman dua hari
BATU PAHAT – Mahkamah Majistret, di sini hari ini membenarkan ibu bapa kanak-kanak lelaki yang lehernya dikelar menggunakan pisau kelmarin, direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, pasangan terbabit tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi.
Kedua-dua suspek ditahan pukul 4 petang semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
Sementara itu, peguam suspek, Muhamad Izwan Ishak ketika prosiding itu berkata, pegawai penyiasat memberitahu perintah reman diperlukan untuk polis merekodkan percakapan anak guamnya.
Dalam kejadian 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa berusia enam tahun ditemukan dalam keadaan parah selepas leher sebelah kanan dikelar menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, dilaporkan berkata siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 41 tahun pada pagi hari kejadian.
Menurutnya, wanita itu tersedar daripada tidur dan mendapati mangsa yang juga anak lelakinya mengalami kecederaan parah di leher dan dibawa ke HSNI untuk rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








