Isu gambar bendera Malaysia tidak lengkap, MCMC siasat agensi media
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah memulakan siasatan terhadap isu gambar bendera Malaysia tidak lengkap sifat yang dimuat naik di akaun Facebook sebuah agensi media.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga sudah memanggil agensi berkenaan iaitu Kwong Wah Yit Poh.
“Siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233 memandangkan kesalahan adalah melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” kata MCMC dalam satu kenyataan, malam tadi.
MCMC turut memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk organisasi media supaya tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap sifatnya.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini.
“MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan,” kata kenyataan itu lagi.
Semalam, tindakan agensi tersebut memuat naik gambar bendera Malaysia mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang rata-rata mengecam tindakan tersebut.
Agensi berkenaan kemudiannya membuat permohonan maaf dan kemudian menggantikannya dengan gambar yg sudah diperbetulkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








