Tak puas hati selepas bercerai, bekas suami tikam wanita
KUALA LANGAT – Polis percaya kes wanita warga Indonesia yang ditikam bekas suaminya di Jalan Redan, Kanchong Darat, Banting semalam, berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa selepas bercerai.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek turut menuduh majikan mangsa menghasut wanita itu supaya tidak merujuk semula hubungan perkahwinan mereka.
“Kita masih mengesan suspek berusia 45 tahun. Senjata yang dipercayai sebilah pisau turut dibawa lari oleh lelaki itu,” katanya, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi semalam, mangsa berusia 44 tahun ditikam di bahagian kiri perut suspek yang juga warga Indonesia.
Mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Zon Merah Hospital Banting dan pemeriksaan awal mendapati beliau mengalami pendarahan dalaman sebelum menjalani pembedahan.
Mohd Akmalrizal menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau balai polis berhampiran,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






