SPRM siasat segera dakwaan rasuah dikaitkan dengan bekas Setiausaha Politik Kanan PM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan segera menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memanggil individu dipercayai Albert Tei yang membuat dakwaan berkenaan serta individu lain yang dinamakan dalam dakwaan itu dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azam Baki dalam masa yang sama turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan dan memberi ruang kepada agensi terbabit menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan dakwaan itu.
Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar sambil menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








