JENAYAH & MAHKAMAH

Selepas hampir tiga tahun, kes kematian kanak-kanak diklasifikasi sebagai bunuh

JOHOR BAHRU – Selepas hampir tiga tahun siasatan dijalankan, polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan sebagai kes bunuh dengan bapa kandung mangsa dinamakan sebagai suspek utama.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan awal berkenaan kes terbabit diterima daripada seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 13 September 2023.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya yang berusia 40 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur. Mangsa kemudiannga disahkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi pada hari yang sama.

“Pada peringkat awal, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sepanjang siasatan, beliau berkata, sebanyak 13 individu termasuk ahli keluarga terdekat dan keluarga pengasuh mangsa bagi membantu siasatan selain mengambil sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun, ujarnya, ujian itu gagal mengenal pasti suspek kerana kesan cecair dipercayai air mani yang ditemukan pada bahagian dubur mangsa tidak dapat dianalisa.

“Siasatan diteruskan sehingga membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 35 tahun pada 18 serta 22 Julai lalu. Kedua-dua suspek merupakan bapa kandung dan bapa saudara mangsa berusia 35 tahun,” katanya.

Menurut beliau, semakan mendapati bapa kandung mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Manakala bapa saudara memiliki 13 rekod jenayah dan dadah serta didapati positif ganja melalui ujian saringan air kencing.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Susulan perkembangan itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan tertuduh akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi pertuduhan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak tepat berhubung kes berkenaan kerana boleh menjejaskan proses pendakwaan di mahkamah.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu atau melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button