PRN MELAKA: Dinesh mahu tarik industri, buka peluang kerja di Asahan
ASAHAN – Kekurangan peluang pekerjaan dan pembangunan industri menjadi antara isu utama yang mahu diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH), P. Dinesh Palasubramaniam sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, kedudukan Asahan yang berhampiran sempadan tiga negeri sepatutnya dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi setempat, khususnya menerusi kemasukan industri baharu.
Menurutnya, kekurangan industri di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk terpaksa mencari pekerjaan di Jasin dan Bandaraya Melaka, sekali gus menghabiskan masa yang panjang untuk berulang-alik setiap hari.
“Apabila kita bercakap mengenai ekonomi, kawasan di pinggiran tiga negeri ini mempunyai keadaan hampir sama kerana industri tidak berkembang dengan pesat.
“Jadi, masyarakat setempat di Asahan perlu ke Jasin atau Bandaraya Melaka untuk mencari rezeki. Keadaan ini menyebabkan ramai tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga kerana keluar awal pagi dan pulang lewat malam,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Justeru, Dinesh berkata, usaha menarik kemasukan industri ke Asahan perlu diberi keutamaan bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Pembangunan sektor industri juga mampu memberi kesan limpahan kepada ekonomi penduduk apabila membuka peluang perniagaan serta meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan sokongan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau melihat golongan muda sebagai kelompok penting dalam PRN kali ini apabila kira-kira 46 peratus pengundi di DUN Asahan terdiri daripada golongan berkenaan.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Gajah itu berkata, pengalaman dan hubungannya dengan golongan muda menerusi penglibatan dalam politik sebelum ini menjadi kelebihan untuk mendekati kelompok berkenaan.
Mengulas keperluan kemudahan asas, beliau berkata, Asahan turut memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan pendidikan, kesihatan dan perbankan bagi memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, kemudahan perbankan khususnya masih terhad apabila penduduk hanya mempunyai akses kepada beberapa mesin pengeluaran wang automatik (ATM), antaranya di Pekan Asahan dan Selandar.
“ATM ini bukan bank. Kita sudah hampir 70 tahun merdeka, tetapi apabila ditanya mengapa bank tidak dibuka di kawasan ini, jawapannya kerana faktor keselamatan.
“Kita akan melihat perkara yang boleh dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada, termasuk usaha menyediakan kemudahan yang diperlukan penduduk,” katanya.
Dinesh yang merupakan calon nombor dua PH bakal berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan daripada Barisan Nasional (BN) di DUN Asahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














