BERITA SEMASA

Wan Ahmad Fauzi dilantik hakim Mahkamah Rayuan Syariah Pahang

KUALA LUMPUR – Pengalaman dalam bidang perundangan dan kajian sejarah perlembagaan bakal dimanfaatkan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dalam memperkukuh pentadbiran kehakiman syariah di Pahang susulan pelantikannya sebagai hakim Mahkamah Rayuan Syariah negeri itu.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan membuka ruang untuk mengaplikasikan kajian sejarah perundangan dan prinsip perlembagaan, khususnya dalam penghakiman berkaitan undang-undang diri Islam.

“Saya menjunjung kasih ke sisi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas limpah perkenan pelantikan saya sebagai seorang hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

“Amanah ini secara tidak langsung akan memberi ruang untuk Jurisprudens Watan dikembangkan dalam analisis kes bagi penghakiman mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fauzi yang juga pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kesultanan Pahang serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang atas usaha meningkatkan tadbir urus pentadbiran Mahkamah Syariah menerusi penstrukturan kepada dua peringkat rayuan.

Menurutnya, pelantikan itu merupakan yang pertama selepas penyusunan semula struktur Mahkamah Syariah negeri berkenaan bagi membolehkan rayuan tertinggi dikendalikan oleh Mahkamah Utama Syariah.

Wan Ahmad Fauzi memulakan kerjaya sebagai peguam selepas dilantik sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 23 September 1996, sejurus menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau turut mempunyai kelayakan sebagai Peguam Syarie di Terengganu dan Wilayah Persekutuan, selain menguasai pelbagai bidang berkaitan perundangan.

Sebagai pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan, beliau mengembangkan kerangka pemikiran perundangan berasaskan pendekatan sejarah perlembagaan dan kedaulatan peribumi bagi membina kefahaman undang-undang yang berpaksikan sejarah serta jati diri watan.

Sumbangan beliau dalam bidang pemikiran perlembagaan turut terserlah menerusi penerbitan buku Kedaulatan Malaysia: Governan Utama Negara yang dilancarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 27 Mei 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button