Rayuan adendum Najib : Bukti baharu dari Istana Pahang
PUTRAJAYA – Kes rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah mendapat perhatian apabila bukti baharu dikemukakan di Mahkamah Rayuan.
Afidavit sokongan itu difailkan oleh anak beliau, Nizar Najib yang mendakwa Sultan Pahang memaklumkan tentang kewujudan dokumen adendum diraja.
Dokumen tersebut didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukuman enam tahun penjara di rumah.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Nizar menerima salinan dokumen itu daripada Istana Pahang pada Isnin sebelum memfailkan afidavit berkaitan pada hari berikutnya.
“Dokumen ini mengesahkan bahawa Najib perlu menjalani hukuman di rumah. Ia ditandatangani pada 29 Januari 2024, iaitu pada tarikh sama dengan perintah utama,” katanya selepas prosiding di mahkamah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran dokumen itu kerana ia didakwa mengandungi maklumat sensitif.
Beliau turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah perlindungan bagi menjaga kerahsiaan dokumen tersebut.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menolak permohonan Najib agar kerajaan mengemukakan dokumen addendum diraja itu.
Dokumen tersebut didakwa dikeluarkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah, namun dianggap tidak boleh diterima sebagai bukti kerana diklasifikasikan sebagai keterangan hearsay.
Prosiding yang dijadualkan pada Khamis turut ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memohon masa tambahan untuk meneliti afidavit baharu itu.
Najib, 71, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah.
Hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta menerusi pengampunan separuh penggal oleh Al-Sultan Abdullah sebelum baginda menamatkan tempoh jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari lalu.
Kes itu terus mencuri perhatian ramai, dengan perkembangan terkini yang mungkin membawa impak besar terhadap perjalanan sistem kehakiman di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








