BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pahang haramkan penjualan vape

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan pengharaman jualan semua bentuk rokok elektronik atau vape di seluruh negeri yang dijangka dikuatkuasa selewat-lewatnya tahun depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad memaklumkan, keputusan itu dimuktamad menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) pada 14 Mei lalu, susulan fatwa pengharaman penggunaan vape yang telah dikeluarkan sejak 2016.

vape
Larangan penjualan vape akan dikuatkuasakan di Pahang selewat-lewatnya tahun depan. – Gambar hiasan 

Menurutnya, larangan tersebut turut mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah beberapa kali menzahirkan titah berhubung kebimbangan baginda terhadap penggunaan vape di negeri tersebut.

“Langkah penguatkuasaan akan dilaksanakan serta-merta oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita berharap larangan ini dapat dikuatkuasakan secara berhemah dan disegerakan selewat-lewatnya sebelum tahun 2026,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Islam Negeri Pahang Bilangan 1/2025 di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini semalam.

Syed Ibrahim turut mengakui, pelaksanaan dasar itu mungkin menimbulkan kesulitan kepada peniaga vape tempatan.

Bagaimanapun tegas beliau, keputusan itu dibuat demi kesejahteraan rakyat.

“Kita buat keputusan ini kerana sayangkan rakyat, terutamanya anak-anak muda yang terdedah kepada bahaya vape.

“Kami sarankan kepada peniaga agar mula bersedia menghentikan operasi perniagaan, elakkan pembelian stok baharu dan pertimbangkan untuk beralih kepada bidang perniagaan lain yang lebih selamat dan sesuai,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button