BERITA SEMASA

Pahang terima RM203.45 juta bagi 51 projek pembangunan – Kor Ming

KUANTAN – Sebanyak 51 projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam bernilai RM203.45 juta telah diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pelaksanaan di seluruh negeri Pahang pada tahun 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Nga Kor Ming berkata, kesemua projek tersebut akan dilaksanakan di bawah seliaan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya dan merupakan antara inisiatif di bawah Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Beliau berkata, program turun padang tersebut bertujuan menyantuni rakyat dan meninjau kemajuan pelaksanaan projek yang telah diluluskan Kerajaan Perpaduan di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di negeri itu.

Menteri KPT Nga Kor Ming diprogram turun padang tersebut bertujuan menyantuni rakyat dan meninjau kemajuan pelaksanaan projek yang telah diluluskan Kerajaan Perpaduan di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di negeri Pahang

Menurutnya, peruntukan itu selari dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI yang menumpukan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia, khususnya melalui penyediaan kediaman dan prasarana awam yang kondusif.

Antara projek utama yang diumumkan ialah pembinaan kediaman di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan peruntukan RM63.45 juta melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Sebanyak 782 unit RMR akan dibina di seluruh Pahang pada tahun ini, dan setakat ini, 472 unit telah berjaya disiapkan.

Kor Ming berkata, sejak diperkenalkan, program RMR telah membantu seramai 70,175 keluarga di seluruh negara memiliki kediaman sendiri, khusus untuk golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi memiliki tanah sendiri.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan lapan projek di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) bernilai RM61.73 juta yang akan dilaksanakan di Kuantan, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Inderapura dan Bera. Kediaman yang dibina itu akan bersifat bersepadu, kondusif dan berkualiti tinggi setanding projek komersial.

Selain itu, sebanyak RM21.13 juta diperuntukkan untuk empat projek pembangunan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pembinaan pusat perniagaan di Cameron Highlands, pembangunan Pekan Sentral di Pekan serta kerja-kerja selenggaraan cerun.

Kor Ming turut berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM23.61 juta bagi tujuh projek pengurusan sisa pepejal yang akan dijalankan di Kuantan, Lipis, Maran, Bentong, Cameron Highlands, Temerloh dan Pulau Tioman. Ia bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lestari serta menjaga kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.

“Sebanyak RM8.67 juta turut diperuntukkan bagi melaksanakan projek bina baru dan baik pulih rumah di Kampung Baru Cina seluruh negeri, manakala enam Balai Bomba dan Penyelamat akan dibina dengan kos RM7.3 juta antaranya di Sungai Lembing, Goh Tong Jaya (Genting), Tioman dan Bentong,” katanya lagi.

Beliau berkata, semua projek ini akan dilaksanakan dengan kerjasama erat antara kementerian dan kerajaan negeri melalui PBT bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota Pasukan KPKT serta jentera kerajaan negeri yang bersama turun padang ke Bandaraya Kuantan. Terima kasih juga kepada pihak media yang hadir membuat liputan program ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat dan Simbolik Penyerahan Mock Cheque Peruntukan Pembangunan dan Perancangan Pahang di sini, hari ini.

Tambah beliau, KPKT akan terus komited menjayakan agenda pembangunan negara secara inklusif dan mampan demi memelihara kebajikan rakyat.

“Semoga jentera perkhidmatan awam sentiasa diberkati Tuhan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button