Kastam gagalkan cubaan seludup 88.39kg e-waste dari AS, Panama dan Sepanyol
BENTONG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 88.39 kilogram sisa elektronik (e-waste) yang dikesan dalam lima kontena di Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor awal bulan ini.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, tiga kontena dipercayai berasal dari Amerika Syarikat, manakala masing-masing satu dari Panama dan Sepanyol.
Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh JKDM Bentong dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), AKPS, MAQIS, Lembaga Pelabuhan Klang dan SIRIM, mendapati barangan berkenaan diisytiharkan sebagai “copper concentrate” sedangkan ia dipercayai e-waste.
“Siasatan awal mendapati pengimport cuba membawa masuk sisa elektronik dengan membuat pengikraran dagangan bukan sebagai e-waste,” memetik BH online.
Beliau berkata, terdapat kilang dalam negara yang memproses sisa elektronik untuk mendapatkan bahan seperti emas, tembaga dan aluminium, namun aktiviti itu berisiko mencemarkan alam sekitar.
Tambah beliau, berdasarkan Perintah Kastam berkuat kuasa 1 April lalu, pengimportan e-waste kini merupakan barang larangan import secara mutlak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








