LUAR NEGARA

Wanita Malaysia ditahan seludup 8kg ganja di Hong Kong

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang wanita Malaysia membawa masuk kira-kira lapan kilogram (kg) putik ganja ke Hong Kong gagal selepas dia ditahan pihak Kastam Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, kelmarin.

Dadah yang dianggarkan bernilai HK$1.6 juta (RM830,000) itu dikesan berada di dalam bagasi daftar masuk wanita berusia 33 tahun berkenaan.

Dalam kenyataan semalam, Kastam Hong Kong memaklumkan, suspek tiba di lapangan terbang berkenaan dari Bangkok sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam.

“Ketika pemeriksaan, pegawai kastam menemukan kira-kira lapan kilogram disyaki ganja di dalam bagasi daftar masuknya.

“Wanita itu kemudian ditahan dan siasatan kes masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Kastam Hong Kong berkata, pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pengedaran dadah melalui analisis risikan.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dalam pengedaran dadah bagi mendapatkan habuan wang atau menerima tawaran pihak lain untuk membawa barangan terkawal keluar dan masuk Hong Kong.

Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh dihukum denda maksimum HK$5 juta (RM2.60 juta) dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pada 30 Julai lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 27 tahun ditahan selepas kira-kira tiga kilogram ganja bernilai HK$600,000 (RM311,000) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya selepas tiba dari Bangkok.

Sebelum itu, pada 16 Julai, seorang lelaki Malaysia berusia 19 tahun yang tiba dari Bangkok melalui Manila turut ditahan selepas kira-kira 11kg ganja bernilai HK$2 juta (RM1.04 juta) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya.

Satu lagi kes membabitkan tangkapan rakyat Malaysia di Hong Kong direkodkan pada 9 Julai, dengan seorang lagi lelaki Malaysia berusia 19 tahun ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur melalui Singapura dengan kira-kira tiga kilogram ganja bernilai HK$500,000 (RM260,000) di dalam bagasi miliknya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button