Polis tahan 13 individu susulan kebakaran kompleks apartment Wang Fuk Court
HONG KONG – Pihak berkuasa Hong Kong menahan 13 individu susulan kebakaran kompleks apartment Wang Fuk Court di daerah Tai Po, minggu lalu.
Pengarah jenayah dan keselamatan Polis Hong Kong, Chan Tung, mengesahkan 13 individu berusia antara 40 hingga 77 tahun, terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita ditahan atas tuduhan membunuh tanpa niat, lapor AFP.
Ketika ini, pasukan penyiasat sedang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Antara yang sedang diteliti termasuk penggunaan panel styrofoam dan perancah buluh dalam projek pengubahsuaian di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa sebahagian jaring luar pada perancah tidak memenuhi piawaian ketahanan api.
Sementara itu, jurucakap polis, Tsang Shuk-yin berkata, pada sidang media bahawa sehingga pukul 4 petang tadi (waktu tempatan), jumlah korban meningkat kepada 151 orang berbanding 146 sehari sebelumnya.
Katanya, polis telah menamatkan pencarian di lima daripada lapan blok pangsapuri di kawasan tersebut dan menambah, sebahagian jasad “telah hancur menjadi abu” dan tidak mustahil ada mangsa yang dilaporkan hilang tidak akan dapat ditemukan.
Beliau turut memberitahu, terdapat jasad mangsa ditemukan di dalam unit pangsapuri, di koridor serta bahagian tangga apartment tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








