BERITA SEMASA

PH mahu pengundi beri peluang kepada calon muda pada PRN Melaka – Chiew Choon Man

KUALA LUMPUR – Pengundi di Melaka diseru memberi peluang kepada calon muda Pakatan Harapan (PH) untuk membuktikan kemampuan mereka membawa pembaharuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, keputusan mengetengahkan lebih ramai calon muda merupakan langkah berani dalam memberi kepercayaan kepada generasi baharu untuk mengambil bahagian dalam kepimpinan politik negara.

Menurutnya, PH menampilkan beberapa calon muda termasuk Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 24, di Kuala Linggi; Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, di Klebang; Jason Tze-Xi Nathan, 31, di Pengkalan Batu dan Denesh Palasubramaniam, 37, di Asahan.

“Saya berbesar hati melihat kemunculan wajah-wajah baharu dalam kalangan calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya negeri Melaka.

“Ini merupakan keputusan berani untuk memberikan kepercayaan kepada generasi muda dalam menentukan masa depan negara. Saya berharap pengundi memberi peluang kepada calon-calon muda ini untuk membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, pengalaman membuktikan ramai tokoh negarawan Malaysia turut diberikan tanggungjawab kepimpinan ketika usia masih muda.

Hal ini kerana, perubahan pesat landskap digital ketika ini juga memerlukan penyertaan pemimpin yang memahami cabaran serta peluang hasil perkembangan teknologi.

“Ketika ini, kita sedang berdepan dengan perkembangan baharu dalam dunia digital. Justeru, adalah baik untuk membawa masuk mereka yang memahami cabaran dan peluang daripada teknologi yang berkembang dengan begitu pantas,” katanya.

Chiew turut berkongsi pengalamannya dipilih sebagai Ahli Parlimen Miri pada usia 31 tahun sebelum diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada Disember 2025.

Menurutnya, pengalaman sebenar dalam pentadbiran dan perkhidmatan kepada masyarakat merupakan proses penting bagi membentuk kepimpinan seseorang.

“Tiada pengalaman yang lebih baik selain belajar ketika menjalankan tugas dan membina pengalaman secara langsung.

“Menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah platform yang baik untuk bermula kerana mereka dapat membina hubungan antara keperluan harian rakyat dengan pemahaman terhadap dasar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik hala tuju kempen PH di Melaka yang diterajui Adam Adli dan Datuk Ginie Lim, yang menurutnya turut dikenali dalam arena politik negara sejak usia muda.

Chiew berkata, keputusan parti mengetengahkan calon muda juga penting bagi memastikan komposisi wakil rakyat lebih mencerminkan demografi pengundi, khususnya selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Beliau turut menyifatkan penyertaan calon wanita yang merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan calon PKR pada PRN Melaka sebagai perkembangan positif dalam memperkukuh keterwakilan wanita.

“Saya juga berasa teruja apabila mengetahui 30 peratus calon PKR dalam PRN Melaka kali ini terdiri daripada wanita.

“Ini mencerminkan komitmen parti untuk menawarkan pilihan yang lebih inklusif kepada pengundi serta memperkukuh perwakilan wanita dalam politik negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin pengundi Melaka mampu membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang matang dengan memilih kepimpinan yang progresif dan memberi ruang kepada generasi baharu untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button