JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki tular lakukan ritual agama lain diperintah jalani pemulihan akidah tiga bulan

RAWANG – Lelaki yang tular melakukan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli, 21, diperintah menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini hari ini.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib memerintahkan tertuduh menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam, berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan cadangan pendakwaan untuk menggantikan hukuman penjara dan denda dengan perintah pemulihan akidah.

Mengikut pertuduhan, Aliff Daniel didakwa melakukan pemujaan salah dengan menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut sambil merapatkan kedua-dua tangan di dada di hadapan sebuah patung di kuil di Batu Caves.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 9 malam hingga 11 malam, 24 Januari 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika menyampaikan penghakimannya, Mohd Faizal berkata, kesalahan dilakukan tertuduh bukan sekadar melanggar undang-undang bertulis, malah membabitkan soal akidah dan tauhid sebagai seorang Islam.

“Kesalahan yang kamu lakukan ini bukan sekadar kesalahan yang lazim dilakukan dalam kesalahan-kesalahan jenayah. Lebih daripada itu, ia membabitkan akidah dan tauhid kamu sebagai seorang penganut Islam.

“Di usia 18 tahun ketika melakukan kesalahan, mungkin kamu cuba meneroka pelbagai perkara ketika muda, tetapi kamu perlu sedar ada batasannya,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau turut menasihati tertuduh supaya bertaubat dengan sebenar-benar taubat atau taubat nasuha, meskipun tertuduh memaklumkan sudah bertaubat.

Mohd Faizal berkata, keputusan menjalani pemulihan akidah itu turut mengambil kira usia tertuduh yang masih muda serta tanggungjawabnya terhadap ibu yang menjadi antara perkara dibangkitkan dalam rayuan meringankan hukuman.

“Mengambil kira usia muda kamu dan bagi memastikan kamu boleh menjaga diri kamu serta ibu kamu yang kamu titikberatkan dalam mitigasi, mahkamah mengarahkan kamu untuk menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman selama tiga bulan bermula hari ini,” katanya.

Terdahulu, dalam rayuan meringankan hukuman, Aliff Daniel memohon supaya dikenakan denda minimum tanpa hukuman penjara kerana perlu menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan.

Dia turut memaklumkan sudah bertaubat dan memohon kebenaran mengikuti kelas bimbingan agama di masjid berhampiran rumahnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu kerana berpandangan tertuduh perlu menjalani pemulihan serta pemantauan oleh pihak berautoriti agama.

Pendakwa Syarie, Zamniazura Mohd Sarin sebelum itu memohon mahkamah menggunakan kuasa budi bicara di bawah Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 bagi menggantikan hukuman penjara dan denda dengan perintah pemulihan akidah.

Peruntukan itu membolehkan mahkamah memerintahkan individu yang disabitkan bersalah menjalani pemulihan di pusat pemulihan bagi tempoh tidak melebihi enam bulan.

Susulan keputusan itu, tertuduh yang berpakaian putih dan berkopiah dibawa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman untuk menjalani pemulihan.

Pendakwaan dikendalikan Siti Nor Hashibah Jamhari, Zamniazura Mohd Sarin dan Husaini Roslin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan pemulihan akidah tertuduh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button